KUALA LUMPUR, 28 November- Tanggungjawab sukar yang memerlukan sokongan kuat wakil rakyat.
Itu reaksi beberapa penganalisis politik dan ahli akademik tentang rancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecilkan saiz Kabinet baharu dan mengurangkan gaji menteri.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berkata pembentukan Kabinet yang lebih kecil adalah satu tanggungjawab yang sukar.
Ini memandangkan perdana menteri harus menyesuaikan kehendak parti-parti yang menyertai kerajaan perpaduan.
"Tapi saya percaya bahawa kabinet yang efisien, yang boleh bekerja, menteri dan timbalan menteri yang boleh laksanakan tanggungjawab mereka boleh dicapai jikalau bukan sahaja wakil rakyat dalam kerajaan itu berikan sokongan tetapi juga rakyat berikan sokongan terhadap warna, bentuk jemaah menteri yang bakal dibentuk," kata beliau.
(Saiz kabinet kecil, kurangkan gaji menteri tanggungjawab sukar dan berani)
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr. Russli Kamarudin pula yakin, Anwar mampu membentuk Kabinet yang lebih kompak dan tepat pada masanya kerana beliau seorang reformis.
"Bagi saya kalau jumlah yang banyak tapi kualitinya tidak ada kita tidak berguna jugak bukan kita mahu apa yang disarankan oleh Niccolo Machiavelli seorang ahli politik itali yang juga ahli falsafah politik pada abad ke-14 dulu kita melantik orang memberi jawatan kepada orang, beri pangkat kepada orang kerana kita inginkan sambutan atau sokongan daripada mereka itu jangan dibuat oleh perdana menteri kita. Itu yang terbaik saya lihat," katanya.
Sementara itu, Profesor Dr. Yarina Ahmad dari Fakulti Pengajian Polisi dan Sosial UiTM berpendapat hala tuju baharu ini juga dapat memastikan negara dalam keadaan stabil, seterusnya merancakkan kembali sektor ekonomi negara.
"Hala tuju ini seiring dengan matlamat negara ke arah memastikan tadbir urus yang baik. Dalam konteks ini ia bukan saja memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa malahan negara kelak berupaya mempamerkan kecekapan, ketangkasan dan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam," kata beliau.