PUTRAJAYA, 2 Ogos- Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM ke-55) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang dihoskan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN 2022.
Menerusi satu kenyataan daripada Wisma Putra, Malaysia dijadual menyertai beberapa mesyuarat sepanjang tujuh hari, bermula 31 Julai hingga 6 Ogos.
Mesyuarat itu termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-55, Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN dengan negara rakan dialog secara berasingan (China, Korea, Jepun, United Kingdom, India, Kanada, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Rusia), Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN+3 Ke-23 (APT FMM Ke-23), Mesyuarat Menteri-menteri Luar Sempena Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-12 (EAS FMM Ke-12), Forum Serantau ASEAN Ke-29 (ARF Ke-29), Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan mesyuarat bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).
Malaysia, sebagai Negara Penyelaras untuk Hubungan Dialog ASEAN-Kanada 2021-2024, akan bersama mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN-Kanada.
Pada AMM ke-55, Menteri-menteri Luar ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN, Keutamaan dan Hasil Utama ASEAN termasuk strategi bersama pemulihan sosioekonomi COVID-19.
Turut bakal dibincangkan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu-isu serantau serta persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-40 dan Ke-41 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, yang dijadualkan pada November 2022.
Antara isu-isu yang akan dibangkitkan oleh Malaysia semasa mesyuarat-mesyuarat itu termasuk usaha pemulihan ekonomi pasca COVID-19, pengukuhan multilateralisme, kemampanan dan perubahan iklim, kerjasama kesihatan awam, ekonomi dan transformasi digital, isu Laut China Selatan, situasi di Ukraine dan konflik di Myanmar.
(Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah)