PUTRAJAYA, 25 Oktober- Sebuah video tular yang memaparkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam, mendapat perhatian umum.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa proses pendaftaran perkahwinan pasangan itu tidak dipengaruhi dengan sebarang ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
Menteri Dalam Negeri merupakan Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.
"Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.
Ia juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, sesi pendaftaran pasangan itu itu adalah simbolik perasmian sempena Hari Pendaftaran Negara yang diadakan saban tahun.
Terdahulu, Saifuddin dijemput untuk merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan JPN yang berlangsung hari ini, membabitkan pengisian program mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang telah dipilih oleh jabatan.
JPN merupakan agensi bertanggungjawab untuk melaksanakan pendaftaran serta merekodkan maklumat perkahwinan sivil dan perceraian bagi bukan Islam.
Peranan itu selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.