KUALA LUMPUR, 21 September - Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) sekali lagi terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan berprestij Universal Robotic Challenge (URC) 2025.
Pertandingan yang disertai lima orang murid SAHUT itu menjadi pentas antarabangsa yang menguji kecekapan murid dalam bidang teknologi dan inovasi robotik.
Pemilihan pasukan dibuat berdasarkan minat, kesungguhan serta komitmen tinggi murid dan keluarga, sekali gus mencerminkan betapa inklusif dan adilnya proses ini.
Ahmad Ridhuan Azman yang juga guru di SAHUT merupakan individu di sebalik tabir yang menjadi penggerak utama dan tulang belakang program tersebut.
Beliau berperanan dalam memastikan murid-murid SAHUT mendapat akses kepada program bimbingan berstruktur dan peluang bersaing di peringkat antarabangsa.
Lima murid tersebut juga melalui pelbagai siri kem berkala dan program persediaan anjuran Tech-Up Sdn Bhd yang membawa program ‘SAHUT TECH UP LAB’ dan menghimpunkan hampir 30 murid dari sekolah-sekolah sekitar Hulu Terengganu, termasuk murid dari sekolah rendah.
Program itu menjadi medan latihan penting dalam membina kemahiran teknikal dan semangat kerja berpasukan yang tinggi setiap kumpulan.
Kejayaan itu turut mendapat sokongan daripada daripada semua pihak — khususnya ibu bapa murid yang terpilh , pemimpin masyarakat setempat, komuniti, warga ibu bapa SAHUT, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Sekolah (PIBKS).
URC bukan sekadar pertandingan biasa, ia merupakan platform menepati hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkukuh minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dalam proses membina robot dan menyempurnakan tugasan peserta juga diuji dengan pelbagai cabaran teknikal, inovasi dan penyelesaian masalah sekali gus membantu perkembangan intelek, emosi dan sahsiah.
Dengan sokongan padu dari Tech-Up Sdn Bhd dan semua pihak berkepentingan, SAHUT terus mendahului usaha dalam memperkasakan pendidikan berasaskan teknologi di kawasan luar bandar.
