KUALA LUMPUR, 21 September - Malaysia menegaskan kepentingan kesatuan dalam kalangan negara-negara ASEAN ketika berdepan pelbagai isu serantau dan global dengan menyatakan bahawa perpaduan adalah asas kepada kekuatan dan kelangsungan rantau ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, apa jua isu yang dibangkitkan dalam kalangan negara anggota mesti berakhir dengan satu pendirian bersama yang kukuh.
"Perkara paling penting, apa pun isu yang dibangkitkan, akhirnya mesti ada satu pendirian. Kita mesti bersatu, itu paksi utama," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 5th Model AIPA 'Empowering Youth Participation In The Sustainability And Inclusivity Agenda' di Parlimen hari ini.
Tan Sri Dr Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 menegaskan, tidak ada gunanya membawa cadangan atau pandangan terbaik sekalipun, jika akhirnya ASEAN gagal mencapai kata sepakat.
"Tidak guna kita bawa the 'best break', tapi akhirnya tiada satu kata sepakat. Ini soal perpaduan," katanya lagi.
Beliau menekankan bahawa kejayaan ASEAN selama ini banyak bergantung kepada prinsip Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) yang menjadi teras kepada kestabilan rantau Asia Tenggara.
"Kita berjaya bertahan selama ini berasaskan prinsip ZOPFAN. Inilah yang telah menyatukan kita," katanya.