KUALA LUMPUR, 21 September - Prestasi Malaysia sebagai peneraju utama industri halal dunia selama 11 tahun berturut-turut menjadi lambang kekuatan negara terutama kepada rundingan perdagangan antarabangsa.
Menurut Geostrategis, Profesor Dr. Azmi Hassan ia terbukti apabila isu pensijilan halal turut dibangkitkan dalam perbincangan tarif dengan Amerika Syarikat baru-baru ini.
"Bukan ingin mengurangkan peraturannya, namun prosesnya. Kerana label ini adalah bukan sahaja penting untuk produk Amerika Syarikat dieksport ke Malaysia, tetapi juga label itu juga akan digunakan oleh Amerika Syarikat untuk mengeksport barangan halal mereka yang ada cap halal Malaysia itu ke negara-negara lain.
"Jadi ini menunjukkan betapa pengiktirafan itu boleh digunakan sebagai perantara, sebagai hubungan antarabangsa, terutama sekali yang berkait dengan faktor ekonomi," katanya ketika dihubungi RTM.
Standard halal Malaysia perlu diberi penekanan kepada negara luar merangkumi proses penyediaan produk demi memastikan tahap kebersihannya menepati keperluan Islam.
Pada masa usaha itu dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyediakan produk mengikut piawaian halal juga penting, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pensijilan halal.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kedudukan tertinggi Malaysia dalam Global Islamic Economy Indicator (GIEI) selama 11 tahun berturut-turut, khususnya dalam kewangan Islam, makanan halal serta media dan rekreasi.