fb fb fb fb fb

Karnival Putrajaya 2025 berwajah baharu, angkat konsep perkongsian komuniti

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim

KUALA LUMPUR, 21 September - Karnival Putrajaya 2025 kembali dengan wajah baharu dengan mengangkat konsep perkongsian bersama komuniti dari seluruh negara bukan hanya tertumpu kepada warga Putrajaya.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, ia selari dengan tema pada tahun ini 'Dari Komuniti kepada Komuniti'.

Sebanyak 40 agensi kerajaan, swasta dan komuniti setempat akan mengambil bahagian dalam pameran Sejati MADANI yang mengetengahkan pelbagai produk berasaskan komoditi tempatan.

"Kita mempunyai laman komuniti yang menjadi lokasi pelbagai acara melibatkan penduduk setempat. Antaranya termasuk sukan rakyat seperti sepak raga bulatan, boling kelapa dan yang paling menarik, permainan dam ular gergasi.

"Selain itu, akan diadakan Pameran Sejati MADANI yang menampilkan produk-produk komoditi Putrajaya seperti madu kelulut, kertas kitar semula, serta bahan berasaskan minyak masak terpakai yang diproses menjadi sabun dan pewangi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Karnival yang akan berlangsung dari 25 hingga 28 September di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya itu merupakan kesinambungan daripada Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024.

Kemuncak karnival akan dimeriahkan dengan Kenduri Rakyat pada 27 September, yang menyasarkan penyediaan makanan untuk kira-kira 6,000 pengunjung.

Antara juadah istimewa yang bakal disajikan termasuk sup tulang, gulai kawah dan pelbagai masakan tradisional, sebagai simbolik kebersamaan komuniti Putrajaya bersama para tetamu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI