KUALA LUMPUR, 21 September - Sebanyak 30 kawasan dikenal pasti dalam kategori berisiko tinggi yang terdedah kepada ancaman banjir dan ribut, khususnya di sekitar Lembah Klang.
Ketua Bahagian Operasi Bencana dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, selain banjir kilat perhatian turut diberikan kepada ancaman angin kencang dan ribut yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk.
Sehubungan itu, pihaknya menggandakan sesi latihan serta simulasi menjelang Oktober sebagai fasa akhir memastikan pasukan, aset dan pegawai berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.
"Pihak kami akan memastikan kesiapsiagaan anggota serta pegawai sentiasa berada pada tahap tertinggi dalam menghadapi bencana. Seperti rutin tahunan, pasukan respon utama bencana akan dihantar ke negeri-negeri yang dilanda musibah lebih awal, memandangkan Lembah Klang mempunyai jumlah anggota yang ramai dan aktif untuk digerakkan bagi membantu rakan-rakan di negeri lain.
"Selain itu, kami juga akan memastikan sesi latihan yang dijadualkan pada bulan Oktober dilaksanakan dengan baik, khususnya bagi memastikan aset dan jentera berada dalam keadaan optimum," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan penggunaan sistem amaran awal negara yang semakin baik serta ramalan cuaca lebih tepat banyak membantu agensi penyelamat untuk merancang tindakan dengan lebih awal.