KUALA LUMPUR, 21 September -Ujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) akan diadakan, di dua lokasi esok.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, lokasi ujian itu ialah di Miri Central Park, Miri, Sarawak dari 9.00 pagi hingga 11.00 pagi serta di Pantai Genting, Tumpat, Kelantan dari 10.00 pagi hingga 12 tengah hari.
"Langkah ini bertujuan menguji sistem siren tsunami baharu bagi pelaksanaan Site Acceptance Test (SAT) di lokasi berkenaan," menurut kenyataan menerusi hantaran di platform X.
MetMalaysia turut menasihati orang ramai, khususnya penduduk di kawasan sekitar, supaya tidak panik dengan bunyi siren berkenaan kerana ia hanyalah ujian.