MAKKAH, 26 Mei - Inisiatif Lembaga Tabung Haji (TH) mewujudkan Sahabat Maktab sejak 2006, menjadi antara platform terbaik untuk jemaah haji menabur budi dan menyantuni kalangan mereka sendiri sekali gus memberi peluang untuk meningkatkan amal ibadah semasa berada di Tanah Suci.
Bagi Dr Nazil Nuhairi Ismail, 47, pengalaman selama 23 tahun dalam bidang perubatan dimanfaatkan sepenuhnya sebaik bergelar 'Duyufurrahman' dalam menyantuni dan membantu jemaah yang kurang sihat di maktab sama dengannya.
Ini kerana, baginya ibadah di Tanah Suci mempunyai pengertian yang luas dan bukan hanya tertumpu kepada ibadah khusus seperti solat, berpuasa, membaca al-Quran atau zikir, malah berbuat baik kepada sesama manusia juga adalah tuntutan agama.
"Berkhidmat juga satu ibadat yang sangat besar, malah kalau tengok dalam sirah pun ada kaum yang kerjanya menyantuni jemaah haji ketika itu. Ada yang bawa minuman, ada yang jaga kebajikan dan ini semua satu ibadah besar.
"Jadi apabila saya diberitahu oleh isteri Wan Nor Hasnita Wan Daud ,45, tentang Sahabat Maktab ini, saya mengajak beliau menyertainya sebaik tiba di Makkah pada 18 Mei lalu supaya dapat menyumbang sedikit ilmu rawatan kepada tetamu Allah," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Sahabat Maktab dan penyerahan ves serta topi kepada Sahabat Maktab oleh Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Bagi Wan Nor Hasni pula, sebelum menjadi Sahabat Maktab, beliau dan suami sempat membantu seorang jemaah lelaki warga emas yang mengalami keletihan selepas tersesat ketika mengerjakan umrah kali pertama baru-baru ini.
"Isteri jemaah warga emas berkenaan sebilik dengan saya, suaminya sakit sebab sesat jauh, jadi saya panggil suami saya kerana saya tahu dia bukan sakit biasa, jadi sebelum pasukan perubatan tabung haji tiba, jemaah itu diperiksa terlebih dulu.
"Dia sangat penat, letih, dehidrasi, lesu dan lemah menyebabkan kita segera menghubungi pihak perubatan TH sebelum keadaan menjadi lebih serius memandangkan suami saya tidak membawa sebarang kelengkapan perubatan ke Tanah Suci," katanya.
Sementara itu Syed Saleh berkata pada musim haji kali ini seramai 315 Sahabat Maktab telah dipilih daripada lebih 500 permohonan yang diterima sejak di tanah air lagi untuk bertugas di sembilan buah maktab tanpa sebarang imbuhan.
Sahabat Maktab, katanya yang terdiri daripada Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik akan bekerjasama membantu petugas haji mengurus kelancaran aktiviti jemaah haji di maktab terutama ketika operasi Masyair.
"Untuk setiap maktab, kita akan memilih seramai 35 orang terdiri daripada 29 orang sahabat Hujjaj dan masing-masing tiga orang untuk Sahabat Medik dan Sahabat ibadat," katanya.
Beliau berkata calon yang dipilih biasanya sihat tubuh badan, muda, berketerampilan, mempunyai semangat sukarelawan dan bermotivasi tinggi dalam membantu jemaah haji warga emas khususnya yang pertama kali ke Tanah Suci. - BERNAMA