fb fb fb fb fb

SADA lakukan kerja pembaikan kebocoran paip dasar laut di Langkawi

Pembaikan kebocoran paip dilakukan pakar penyelam komersial/Foto SADA

LANGKAWI, 7 Februari- Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan kebocoran paip dasar laut di Langkawi, semalam.

SADA memaklumkan, pembaikan kebocoran paip yang berusia 27 tahun ini dilakukan menggunakan kaedah 𝘤𝘭𝘢𝘮𝘱𝘪𝘯𝘨 oleh pakar penyelam komersial.

Kerja-kerja itu lazimnya mengambil masa selama dua hari untuk dilaksanakan merangkumi proses tinjauan dan cucian serta proses pembaikan.

Pembaikan berkenaan hanya boleh dilakukan pada masa-masa tertentu sahaja mengikut jendela pasang surut laut dan perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM).

"Kekerapan kebocoran pada paip dasar laut ini menyebabkan berlakunya pembaziran hampir 45 peratus bekalan air terawat setiap hari selain SADA terpaksa mengeluarkan kos pembaikan yang tinggi setiap kali kebocoran berlaku.

"Hasil daripada pembaikan selama dua hari itu, SADA menjangkakan pertambahan sebanyak enam hingga lapan juta liter air sehari (MLD) air terawat yang dapat dihantar ke Tangki Pengimbang Penarak," kata SADA dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, SADA berharap melalui usaha dan pelaksanaan projek pembaikan paip dasar laut secara menyeluruh yang dijangka siap pada Januari 2025 nanti akan dapat mengatasi masalah kebocoran paip dasar laut sekali gus meminimumkan gangguan bekalan air di Pulau Langkawi.

Bagaimanapun bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki dan tangki statik terus digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI