fb fb fb fb fb

Labuan FSA lantik dua ahli baharu, lanjut perkhidmatan empat ahli

Bangunan Financial Park Labuan/BERNAMA

LABUAN, 7 Februari- Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (FSA) mengumumkan pelantikan dua ahli baharunya serta pelanjutan tempoh perkhidmatan empat ahlinya.

Dalam satu kenyataan Labuan FSA berkata Menteri Kewangan melantik Datuk Hisham Rusli dan Salmah Bee Mohd Mydin sebagai dua ahli baharunya untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 15 Januari 2024 hingga 14 Januari 2026.

Sementara itu, Datuk Azimah Abdul Aziz, Steven Choy Khai Choon, Dr Aida Othman dan Aznan Abdul Aziz dilantik semula untuk tempoh dua tahun lagi.

Hisham yang kini Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berpengalaman luas dalam penyeliaan pelbagai fungsi, termasuk pentadbiran dan pengurusan, pengurusan sumber manusia, kewangan, pemerolehan, pengurusan logistik, kakitangan dan organisasi penstrukturan semula, pengurusan risiko dan integriti, dan pemantauan latihan.

Beliau juga bertanggungjawab memantau operasi negeri-negeri dan mengetuai pelaksanaan e-invois HASiL.

Salmah Bee, Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula dilantik untuk menyumbang kepakarannya dalam kemampanan, tadbir urus korporat, pembangunan produk pelaburan, sekuriti dan fungsi pembangunan derivatif.

Beliau memegang jawatan dalam lembaga Lembaga Pemantauan Audit, Agensi Akreditasi Kewangan, Majlis Pembangunan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Malaysia, dan Penjana Kapital Sdn Bhd, sebuah syarikat MoF Inc.

Pengerusi FSA Labuan Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah melahirkan keyakinan bahawa kepakaran mereka yang pelbagai akan melengkapkan ahli sedia ada dan membawa perspektif baharu untuk memacu Pelan Hala Tuju Strategik Lima Tahun Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada dua ahli Labuan FSA yang menamatkan perkhidmatan, Dr Wong Huei Ching dan Datuk Abu Tariq Jamaluddin.

Dedikasi dan perkhidmatan mereka telah memainkan peranan penting dalam kejayaan dan komitmen terhadap kecemerlangan pihak berkuasa, katanya.- BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI