fb fb fb fb fb

SADA bakal baiki paip dasar laut di Langkawi, pengguna disaran guna air secara berhemah

FOTO SADA

LANGKAWI, 4 Februari- Kebocoran paip dasar laut merupakan antara antara faktor penyumbang kepada masalah ketidakcukupan bekalan air di Pulau Langkawi selain daripada Fenomena El Nino.

Ia sekali gus meningkatkan kadar peratusan Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water-NRW) di Kedah.

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, SADA dalam kenyataan berkata, paip dasar laut atau submarine pipeline yang terdedah ini kerap berlaku kebocoran disebabkan oleh beberapa faktor.

Antaranya, aktiviti pukat tarik oleh nelayan, sauh bot atau kapal, aktiviti memancing laut dalam dan faktor usia paip itu sendiri.

SADA berkata, lebih daripada 60 peratus bekalan air terawat yang digunakan oleh penduduk di Pulau Langkawi dihantar melalui sebuah paip dasar laut sepanjang 35km dari tanah besar.

Air terawat tersebut diproses di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Baru, Perlis dan dihantar ke Tangki Penimbang Penarak sebelum diagihkan kepada para pengguna.

Jelas SADA, hasil dapatan kajian dan pemeriksaan telah mengenal pasti majoriti daripada lokasi kebocoran tersebut terletak pada sekitar 5km di pertengahan jajaran paip.

SADA kini dalam usaha untuk melaksanakan projek pembaikan paip dasar laut ini secara menyeluruh. Projek itu kini sedang memasuki fasa penyediaan dokumen tender dan akan melalui Makmal Pentaksiran Nilai (Value Assesment, VA) pada bulan Mei 2024. Projek ini dijadualkan bermula pada bulan Ogos 2024 dan dijangka siap pada bulan Januari 2025.

Sehubungan itu, SADA menasihatkan pengguna di Pulau Langkawi supaya berhemah dalam menggunakan bekalan air ketika melakukan aktiviti harian khususnya sepanjang musim kemarau yang dijangka berlarutan ini.

Ia bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan.

Sebarang aduan atau pertanyaan, para pengguna boleh menghubungi talian hotline di 1300 88 0017 dan Bilik Gerakan Langkawi di talian 04-9610546.

Maklumat berkaitan gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok Syarikat Air Darul Aman di www.sada.com.my

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE