KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Peruntukan pembangunan untuk Sabah di bawah Belanjawan 2026, meningkat kepada hampir RM7 bilion, tertinggi berbanding negeri lain, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, beberapa projek utama yang disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut mengambil kira keutamaan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah termasuk Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta), jalan dari Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta) dan Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1A (RM200 juta).
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan MADANI juga telah meneruskan semula pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan RM14 bilion, meliputi RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion melalui pinjaman.
"Sejak 2024, kerajaan turut menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion bagi projek air Sabah yang dijangka siap tahun hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai Pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat hari ini.