fb fb fb fb fb

AIFA terima lebih 167,000 mesej sejak diperkenalkan Januari lalu

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - 'Artificial Intelligence Fact-Check Assistant' (AIFA) yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dibangunkan bagi meningkatkan literasi digital dan mengurangkan impak buruk daripada penyebaran maklumat palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, setakat 15 Oktober, sebanyak 167,233 mesej atau hampir 643 mesej sehari diterima sejak AIFA diperkenalkan 28 Januari lalu.

Beliau berkata AIFA boleh diakses 24 jam menerusi portal SEBENARNYA.MY dan aplikasi WhatsApp serta ia boleh memadankan maklumat dengan sumber yang boleh dipercayai, seterusnya menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih secara pantas kepada pengguna.

"Kementerian juga melalui MCMC telah melancarkan satu program yang dipanggil Kempen Internet Selamat (KIS), juga bermula tahun ini.

"Setakat 15 Oktober kami telah pergi ke lebih 5,435 institusi pendidikan tidak kira sekolah rendah, menengah, institut pendidikan guru (IPG) ataupun Institut pengajian tinggi (IPT) dan kita telah melibatkan hampir setengah juta peserta menyertai program KIS ini.

"Kita harap dengan usaha ini, kita boleh pergi ke sekolah, ke tempat pedalaman untuk memastikan bahawa tiada orang  yang terpinggir untuk sama-sama meningkatkan literasi digital", katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan wakil Labuan Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman yang ingin mengetahui langkah kementerian memastikan rakyat khususnya golonga muda dan warga luar bandar mempunyai literasi digital dan kesedaran media serta tidak terpengaruh dengan kandungan palsu berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

ROSLINA BINTI DIN