KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Sebanyak 13 tuntutan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan menerusi Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menunaikan obligasi terhadap Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara tuntutan yang dipersetujui bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri.
“Antara tuntutan yang dipersetujui bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah termasuklah penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada kerajaan Sabah, malah kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” katanya.
Belaiau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai Pendirian Kerajaan MADANI Berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan Persekutuan turut bersetuju membenarkan Sabah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum bagi menjana hasil tambahan sekitar RM2 bilion setahun.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus berusaha menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak sejak puluhan tahun selain meningkatkan kadar pemberian khas.
Tuntutan itu turut menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun demi kesejahteraan rakyat Sabah.