KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad, Ketua Polis Pulau Pinang, CP Datuk Ts. Aziezee Ismail, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, CP Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, CP Gilberd ak Philip Layang.
Seramai 109 pegawai dan anggota PDRM menerima lima Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis pada Istiadat Pengurniaan 2025 di Balairung Seri Istana Negara.
Daripada jumlah tersebut empat menerima Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP), lima menerima Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) , 16 menerima Pahlawan Pasukan Polis (PPP), enam menerima Kesatria Pasukan Polis (KPP) dan 78 menerima Bentara Pasukan Polis (BPP).
Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada pukul 9.45 pagi, sebelum Baginda berangkat masuk ke Balairung Seri Istana Negara tepat pukul 10.00 pagi bagi menyempurnakan istiadat penganugerahan.
Berangkat sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Majlis penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap jasa, pengorbanan dan kecemerlangan pegawai serta anggota PDRM dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara