KOTA KINABALU, 4 Mei - Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KepKAS) sedang melaksanakan kajian terperinci berkaitan industri pelancongan yang didominasi oleh pengusaha dari pelancong Korea dan China.
Kajian diselaraskan Lembaga Pelancongan Sabah dan hasil kajian itu akan diketahui hujung bulan ini.
Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffrey Jimit berkata kajian tersebut melibatkan pemantauan terhadap kehendak, perbelanjaan serta gaya hidup pelancong dari kedua-dua negara berkenaan.
"Kami sedang menjalankan kajian mengenainya, tingkah laku warga Korea, pola perbelanjaan, apabila kita faham barulah dapat membentuk strategi untuk mitigasi, masih mengalu-alukan mereka tapi bagaimana kita dapat mengambil peluang perbelanjaan mereka sekali gus memberi manfaat ekonomi tempatan," katanya dalam satu sidang media semalam.
Dalam pada itu, Menteri KePKAS, Datuk Christina Liew berkata, isu berkenaan dalam perhatian kementeriannya dan sedang berusaha sebaik mungkin menangani perkara itu bagi memberi keseimbangan industri pelancongan di negeri ini.
"Kita akan membuat memo kemudian diserahkan... kita juga mahu bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak.
"Kita serah memo kepada Sarawak, kepada Persekutuan dan lihat kembali kepada Sabah, biar Sabah urus pendaftaran yang kini sedang dalam kajian," katanya.