MADINAH, 4 Mei- Seramai 150 petugas Tabung Haji (TH) dibawa menyertai aktiviti ziarah luar ke beberapa lokasi sekitar Madinah, pagi tadi.
Turut menyertai ziarah itu 14 pengamal media pelbagai agensi.
Antara lokasi dikunjungi termasuk Masjid Quba, Masjid Qiblatain dan Jabal Uhud yang menyaksikan berlakunya peristiwa perang Uhud sehingga 70 sahabat Rasulullah S.A.W syahid di medan perang.
"Jadi kita nak tekankan kepada jemaah untuk menghayati merasai tentang apa yang berlaku di Kota Madinah,"kata Pembimbing Ibadat Haji (PIHTAS), Ustaz Mahmad Zukri Mad Hassan.
Kesemua jemaah haji Malaysia akan turut merasai pengalaman sama apabila menyertai aktiviti ziarah luar ketika berada di Madinah nanti.
Seramai 31,600 jemaah bakal menunaikan ibadah haji tahun ini dengan penerbangan pertama dijadual pada 9 Mei depan.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah Malaysia ke tanah suci melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Berhad dan Saudia Airlines.