fb fb fb fb fb

RXZ Members 7.0: Kerajaan salur RM100,000, utamakan keselamatan

Foto Facebook RXZ Members Officials

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI mengiktiraf peranan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim dan penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat.

Menerusi kenyataan, beliau berkata kerajaan menyokong penuh penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang dijadual berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.

Menurut Perdana Menteri, program yang menghimpunkan peminat serta penggiat permotoran dari seluruh negara itu berupaya mengangkat potensi industri permotoran ke tahap lebih tinggi.

Bagi menjamin kelancaran dan keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diarahkan memberikan bantuan serta kawalan sewajarnya sepanjang program berlangsung.

Kerajaan MADANI juga menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM100,000 kepada peserta sebagai tanda komitmen, selain perbincangan lanjut bersama penganjur akan diadakan minggu hadapan bagi menilai keperluan seterusnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar mengingatkan semua peserta dan penganjur agar mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Beliau turut mengajak peserta mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan sebagai simbol kebanggaan dan kecintaan kepada tanah air.

Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan MADANI akan terus menyokong inisiatif masyarakat yang membawa manfaat bersama, memperkukuh perpaduan serta membina budaya permotoran yang positif, selamat dan berdaya maju demi kemakmuran negara.

ROSLINA BINTI DIN