fb fb fb fb fb

RUU Warga Emas dirangka perkukuh perlindungan dan hak golongan berkenaan

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas sebagai langkah memperkukuh perlindungan hak asasi dan kebajikan golongan warga emas di negara ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata undang-undang baharu itu akan memberikan perlindungan perundangan yang lebih menyeluruh, terutamanya dalam menangani isu pengabaian, penderaan dan eksploitasi terhadap warga emas.

"KPWKM sedang merangka RUU Warga Emas bagi memastikan hak dan kebajikan golongan ini dilindungi secara sah.

"Ini termasuk peruntukan untuk mencegah pengabaian, penderaan, serta meningkatkan kesedaran dan literasi digital agar mereka tidak menjadi mangsa jenayah siber," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, KPWKM sedang menyemak semula Pelan Tindakan Warga Emas yang  memberi tumpuan kepada isu penipuan melibatkan golongan terbabit dalam menggalakan mereka berdikari serta memperkukuhkan penjagaan dan sokongan daripada komuniti

Tambah beliau, pelaksanaan dasar ini perlu sampai ke akar umbi melalui kerjasama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI