PUTRAJAYA, 6 Oktober - Kertas Kabinet mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli dijangka dapat dibentangkan kepada barisan Jemaah Menteri pada awal November depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini, pihaknya giat melaksanakan libat urus dengan pelbagai pihak bagi melengkapkan RUU itu.
"Insya-Allah, pada awal November nanti, satu keputusan dasar akan dibuat kerana kabinet juga ingin mendengar hasil daripada sesi libat urus ini.
"Kita mahu menentukan bentuk tribunal yang sesuai, sama ada memberi tumpuan kepada golongan bawah 18 tahun atau memperluas definisinya. Semua ini sedang diperincikan melalui sesi libat urus yang dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog Awam Generasi Tanpa Buli bersama wakil murid bawah Kementerian Pendidikan KPM) di sini hari ini.
Jelasnya lagi, isu terbesar yang kabinet perlu putuskan daripada sesi libat urus yang dilaksanakan ketika ini termasuk mendapatkan definisi sebenar buli.
Ketika ini, negara sudah mempunyai undang-undang berkaitan isu buli, namun ia tidak khusus menangani kes buli secara menyeluruh.
Dalam konteks itu, apabila melibatkan kanak-kanak, tribunal itu perlu difahmi dalam menyelesaikan kes-kes buli dari sudut yang lebih mendalam dan berbeza, bukan sekadar dari sudut jenayah berat seperti pembunuhan.
Kabinet boleh memutuskan untuk mewujudkan dua jenis tribunal sama ada bagi mereka berumur bawah 18 tahun dan atas 18 tahun, atau menubuhkan dua tribunal berasingan.
Tambah atuk Seri Azalina, pihaknya akan memastikan undang-undang yang bakal digubal benar-benar berkesan dan tanggungjawabnya adalah menilai sama ada tribunal akan menjadi lebih efektif berbanding mahkamah.