AYER KEROH, 6 Oktober - Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan membina Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan cawangan baharu CIDB di Melaka.
Ia sebagai usaha memperkukuh latihan kemahiran dalam industri pembinaan tempatan, selain menyediakan pusat latihan dan teknologi terkini bagi kontraktor di negeri itu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, CIDB sedang mengenal pasti lokasi strategik dengan keluasan 2.023 hektar bagi melancarkan pembinaan kemudahan pusat latihan dan teknologi terkini bagi kontraktor di negeri tersebut.
"Mencari lokasi seluas lima ekar tanah untuk membina dua perkara itu. Kita tahu bahawa CIDB melatih pekerja pembinaan yang mahir melalui ABM dan CIDB Tech ada dua organisasi di bawah CIDB yang melaksanakan kursus-kursus. Pelbagai kursus yang berkaitan dengan industri pembinaan", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan 2025 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan kekal komited dalam memastikan Makmal Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) di semua 14 negeri dan dua lagi projek khas di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat dilaksanakan, selain telah memohon peruntukan kira-kira RM40 juta dalam Belanjawan 2026 untuk melengkapkan semua makmal tersebut.