KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Kementerian Kewangan (MOF) diminta mengkaji semula agihan peruntukan pembangunan modal insan khususnya melibatkan sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) yang ketika ini berdepan kekurangan peruntukan yang serius.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin berkata, bagi tujuan pemerkasaan sektor awam ECCE, jumlah peruntukan yang diperlukan adalah sekurang-kurangnya 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
"Perluasan peruntukan tersebut akan digunakan bagi memberi geran tetap tahunan kepada pengusaha taska dan tadika swasta yang tidak berpotensi menjana keuntungan dan mampu milik. Kedua, menyediakan ECCE awam yang mencukupi.
"Ketiga, mewujudkan insentif kewangan kepada taska dan tadika berdaftar. Keempat, Memperluas subsidi taska dan tadika yang layak. Kelima, meningkatkan skim latihan pengasuh pendidikan awal kanak-kanak bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme mereka. Akhir sekali, meningkatkan bantuan makanan kepada murid pra-sekolah mengikut kadar semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan syor-syor jawatankuasa mengenai cabaran dihadapi sektor ECCE termasuk aspek kewangan di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, kerajaan juga disyor menggubal dasar dan akta khusus bagi mengawal selia pembangunan ECCE di negara ini.
"Kami mengesyorkan tanggungjawab kawal selia pembangunan ECCE dipertanggungjawabkan bawah satu agensi seperti
Pihak Berkuasa Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) seperti dilaksanakan di Singapura.
"Selain itu, menubuhkan Majlis Penjagaan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan bagi menyelaras agenda ECCE merentasi kementerian," jelas beliau lagi.
Turut dicadangkan agar semua Tabika Jabatan Perpaduan diletakkan bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)bagi mengoptimumkan sumber kerajaan.
Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak (KPWKM) dan KPM agar menyemak semula garis panduan perancangan dan penubuhan taska dan tadika sedia ada dengan mengambil kira kos, tempoh masa dan birokrasi sebagai usaha meningkatkan pendaftaran taska dan tadika di negara ini.
Yeo Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, pelaburan dalam sektor ECCE bakal memberi pulangan tertinggi terhadap pembangunan modal insan negara.
Selain itu usaha membentuk modal insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia mesti bermula seawal usia.