fb fb fb fb fb

7 individu ditahan susulan kenyataan, video berkaitan hasut, ugut & hina

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Tujuh individu ditahan susulan penularan beberapa video dan hantaran di media sosial yang berunsur hasutan, ugutan, penghinaan sehingga menimbulkan kegusaran awam terhadap pemimpin negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu dalam kenyataan mengesahkan perkata itu.

Berdasarkan siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan tujuh akaun media sosial (TikTok dan Facebook) yang disyaki menyebarkan kandungan bersifat fitnah serta menghina kerajaan dan pemimpin negara.

"Antara akaun terlibat ialah @zollpatv, @saya_alif5, @japajafaruddinshop, @HonaKia53, @k_a_m_i_l_2905, @tokgompo, serta akaun Facebook Vincent Naidu.

"Mahkamah telah membenarkan tahanan reman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.

Hasil semakan mendapati seorang suspek berusia 40-an mempunyai 19 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala seorang lagi suspek berusia 60-an pernah disiasat bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menimbulkan hasutan, ugutan atau penghinaan yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Orang ramai turut dinasihatkan agar berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkongsian di media sosial bagi mengelak tindakan undang-undang serta memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Kesemua kes kini disiasat bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI