fb fb fb fb fb

RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025 dilulus, Peraturan 78 dimansuh

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali/RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025, sekali gus memansuhkan Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap di bawah Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212), seperti yang dicadangkan dalam pembentangan RUU berkenaan yang dibacakan untuk kali kedua di Dewan Rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata RUU tersebut turut memperkenalkan penggunaan Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki yang lebih telus dan adil kepada pengguna, di samping membolehkan mereka menikmati baki pinjaman lebih rendah sekiranya penyelesaian dibuat lebih awal.

“Pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 [Akta 212] melalui Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna dalam urusan pinjaman sewa beli di Malaysia.

"RUU ini bukan sahaja memodenkan undang-undang sedia ada, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi kepentingan pengguna. Ia juga satu pembaharuan penting bagi memastikan sistem pembiayaan sewa beli di Malaysia menjadi lebih adil, telus dan inklusif,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pindaan kepada Akta 212 melalui RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025 adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna dalam urusan pinjaman sewa beli di negara ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN