fb fb fb fb fb

Kerja baik pulih bangunan kedutaan Malaysia dilaksana berperingkat

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan bangunan Kedutaan Malaysia di luar negara akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan peruntukan yang tersedia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata usaha penyelenggaraan dan baik pulih tersebut dilaksanakan bagi memastikan imej negara terus terpelihara di peringkat antarabangsa, selain menjamin keselamatan serta keselesaan perwakilan Malaysia di luar negara.

Menurut beliau, bagi tujuan itu peruntukan khas disalurkan setiap tahun untuk kerja-kerja pemantauan, penyelenggaraan dan baik pulih bangunan.

Katanya, kementerian turut melaksanakan pengurusan kemudahan melalui pelantikan syarikat pengurusan fasiliti (Facility Management Company, FMC) di beberapa negara sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan penyelenggaraan bangunan dilakukan secara teratur dan berkesan.

Namun, Mohamad menjelaskan pelaksanaan sistem FMC tidak dapat diseragamkan di semua negara disebabkan oleh peraturan serta keperluan teknikal yang berbeza.

“Jadi kita minta banyak, tetapi yang diluluskan itu tidaklah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.Walau bagaimanapun, urusan penyelenggaraan dan baik pulih tetap dilakukan setiap tahun.

"Sekarang ini, kita sedang melaksanakan kerja baik pulih di Canberra, Paris, dan Bangkok, manakala di Moscow sudah berada di peringkat akhir. Bagi yang lain-lain, pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat mengikut status serta keperluan masing-masing,” katanya semasa sesi penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Mengulas mengenai kekosongan jawatan di pejabat perwakilan Malaysia di luar negara, Mohamad menjelaskan keadaan itu berpunca daripada kekurangan kuota yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Beliau berkata, Wisma Putra memerlukan 1,179 pegawai dan kakitangan bagi menampung operasi di dalam serta luar negara, namun setakat ini hanya 1,422 jawatan telah diisi, dengan kekurangan sebanyak 287 jawatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN