fb fb fb fb fb

Kerajaan aktifkan saluran diplomatik, pastikan keselamatan sembilan rakyat Malaysia

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Kerajaan sedang menggunakan seluruh saluran diplomatik bagi mengesahkan keberadaan serta memastikan keselamatan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TTMG).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu turut melibatkan kerjasama dengan beberapa negara sahabat, termasuk Turkiye, yang sebelum ini membantu dalam misi pembebasan 23 Wira dan Wirawati Global Sumud Flotilla.

Menurut beliau, Wisma Putra telah menggerakkan usaha diplomatik secara menyeluruh dengan penglibatan pasukan guaman bagi membantu tahanan terbabit.

“Setakat sekitar pukul 3 petang tadi, Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan, dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah mengeluarkan kenyataan tegas mengecam tindakan ini, penculikan dan penahanan tersebut.

"Semua saluran diplomatik telah diaktifkan untuk mengenal pasti dan mengesahkan keberadaan tahanan, serta memastikan pasukan guaman segera mendampingi mereka dan menasihati langkah-langkah yang diperlukan untuk pembebasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam rancangan Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang disiarkan di TV1, hari ini.

Tambah Datuk Fahmi, kerajaan yakin usaha diplomatik yang sedang digerakkan akan membuahkan hasil dalam masa terdekat.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada Wisma Putra dalam menyelesaikan perkara tersebut secara diplomatik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN