KOTA TINGGI, 24 Ogos - Pembentangan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUU PK) dijangka dibentangkan di Parlimen, dalam masa terdekat dilihat penting bagi memastikan setiap proses perolehan dipatuhi sepenuhnya dengan menitikberatkan ketelusan dan integriti.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, ia juga merupakan langkah mengukuhkan sistem perolehan negara.
Ketidakpatuhan dalam mana-mana tender atau urusan perolehan tetap dikira sebagai kesalahan, dan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut penggubalan baharu tersebut.
"Minggu depan kerajaan akan membentangkan Akta Rang Undang-Undang Perolehan susulan pemakluman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa individu yang melanggar proses tatacara perolehan dianggap sebagai kesalahan bawah undang-undang.
"Tindakan tersebut boleh dihukum. Sekiranya prosedur atau tender tidak mengikut peruntukan sedia ada ia merupakan satu kesalahan, maka ia boleh dihukum bawah akta tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera Muafakat di sini hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan mengadakan sesi libat urus melibatkan kerajaan negeri, agensi serta syarikat berkaitan, sebagai persediaan sebelum pembentangan akta berkenaan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sesi itu diadakan di semua negeri, bagi memastikan pelaksanaan perolehan kerajaan lebih tersusun dan berdisiplin.