fb fb fb fb fb

Topi keledar, minyak hitam percuma tarikan PMR Negeri Sembilan

Salah seorang pengunjung menerima topi keledar percuma daripada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli

NILAI, 24 Ogos - Kira-kira 1,000 lagi topi keledar akan diagihkan secara percuma kepada pengunjung pada hari terakhir Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan, hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusof berkata, sebanyak 3,000 unit topi keledar disediakan sepanjang tiga hari program yang mendapat sambutan mengalakkan daripada pengunjung sejak hari pertama penganjuran, Jumaat lepas. 

"JPJ amat berharap agar inisiatif sebegini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai, terutamanya pembonceng motosikal terhadap elemen keselamatan. Program pertukaran topi keledar secara percuma ini bukan sahaja sebagai platform advokasi kepada penunggang-penunggang motosikal, tetapi juga komitmen JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya dan kesedaran terhadap pematuhan peraturan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program pertukaran minyak hitam dan pemberian topi keledar percuma oleh JPJ bersempena Program MADANI Rakyat 2025 yang berlangsung di Dataran Nilai. 

Sejak Jumaat lalu, sebanyak 700 botol minyak hitam turut disediakan kepada pemilik motosikal yang ingin membuat pertukaran minyak hitam secara percuma. 

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang hadir pada program berkenaan tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan perkhidmatan percuma yang disediakan di reruai JPJ.

"Tadi kami keluar dalam pukul 7.30 pagi dari rumah sebab saya dah jangka mesti ramai, jadi datang ambil giliran untuk tukar topi keledar. Program ini pun jarang diadakan, jadi saya bersyukur dapat tukar topi keledar yang dah rosak kepada topi keledar yang baharu, yang ada SIRIM, jadi rasa selamat nak pakai," kata pengunjung, Che Noriah Che Soff.

Hari ini, saya dapat topi keledar baharu menerusi Program MADANI Rakyat, jadi saya gembiralah semua orang dapat, warga emas pun dapat," menurut seorang lagi pengunjung, Anushah a/p Murugaiah.

MASNIZA AWANG KECHIK