KUCHING, 24 Ogos – Seorang pesara swasta di Miri rugi hampir RM2.5 juta susulan terpedaya dengan iklan pelaburan dalam talian di Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dalam kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 60-an itu mula melabur pada April lalu selepas tertarik dengan tawaran pulangan lumayan menerusi sebuah aplikasi dikenali sebagai Stefelai.
"Mangsa kemudian membuat beberapa pindahan wang secara berperingkat ke akaun bank suspek namun sehingga laporan polis dibuat, masih tidak membuahkan keuntungan," menurut kenyataan itu.
Polis DIraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan di media sosial, sebaliknya membuat semakan menerusi laman web rasmi Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di www.sc.com.my.
Individu mangsa penipuan siber juga dinasihatkan untuk segera menghubungi National Scam Response Center di talian 997 sekiranya melakukan transaksi ke atas akaun yang mencurigakan.
Orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM di media sosial untuk mengetahui maklumat serta modus operandi terbaharu penipuam.