fb fb fb fb fb

Kerajaan pantau pelantikan bekas tentera IDF di tiktok, risiko jejas sokongan kepada Gaza

Lantikan tersebut dikhuatiri menjejaskan pendirian Malaysia dalam menyokong perjuangan pembebasan Palestin/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Kerajaan pantau pelantikan seorang bekas anggota tentera Israel (IDF), sebagai pengurus baharu bahagian pemantauan ucapan kebencian di platform media sosial TikTok. 

Ia dikhuatiri menjejaskan pendirian Malaysia dalam menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan langkah itu sebagai 'tidak sensitif' dan boleh menjejaskan solidariti masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, terhadap perjuangan rakyat Palestin.

''Saya mengambil maklum mengenai berita pelantikan ini dan segera menyampaikan bantahan awal dengan menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif TikTok sendiri.

''Kita bimbang ia membuka ruang kepada kandungan berunsur pro-zionis untuk mempengaruhi algoritma TikTok, sekali gus memberi kesan kepada pengguna di Malaysia,'' katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Qaza Time Tunnel di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, maklumat awal yang diperoleh daripada siasatan media antarabangsa mendapati jawatan itu dibayar dengan gaji yang tinggi, dan situasi itu menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar syarikat tersebut.

Tambahnya, perkara itu berlaku pada masa TikTok sedang melaksanakan langkah pengurangan pekerja, termasuk moderator kandungan di Malaysia, dan lebih bergantung kepada sistem kecerdasan buatan (AI).

''Ini menimbulkan risiko apabila kawalan kandungan tidak lagi dijalankan oleh manusia yang memahami sensitiviti setempat. Kita tidak mahu elemen pro-zionis menyusup masuk tanpa disedari,'' jelas beliau.

Jelas beliau lagi, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan tegas terhadap TikTok kerana platform itu beroperasi dengan lesen di Malaysia. Namun, sebarang langkah akan dibuat selepas perbincangan rasmi bersama pihak TikTok pada awal September depan.

“Kita tahu TikTok juga menjadi ruang perniagaan dan sumber rezeki ramai rakyat Malaysia, termasuk peniaga kecil dan penggiat kandungan. Jadi, pendekatan kita harus seimbang, melindungi kepentingan pengguna tempatan, tetapi pada masa sama memastikan ia tidak diracuni elemen yang bertentangan dengan prinsip Malaysia,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten menyokong kebebasan Palestin tanpa syarat, dan mengajak rakyat untuk terus berkreativiti dalam menggerakkan solidariti di ruang maya.

ASHRIQ FAHMY AHMAD