KUALA LUMPUR, 10 September – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan 2025 (Pindaan) yang memperuntukkan peluasan dasar pendidikan wajib sehingga ke peringkat menengah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan memaklumkan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) itu dibuat selaras dengan amalan antarabangsa serta bakal menjadi reformasi terbesar sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, langkah itu penting dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 bagi memastikan murid tidak tercicir selepas tamat Tahun Enam.
“Apabila murid kekal berada dalam sistem persekolahan, kita dapat mengurangkan isu keciciran, menangani perkahwinan bawah umur serta pelbagai gejala sosial lain yang berpunca daripada ketiadaan akses kepada pendidikan,” katanya.
Pindaan itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 15 Ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali.
Sejak dasar pendidikan wajib diperkenalkan pada 2003, kadar penyertaan murid sekolah rendah meningkat daripada 92.9 peratus kepada 99.39 peratus pada 2024, sekali gus melepasi sasaran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Namun begitu, kadar enrolmen di peringkat menengah masih memerlukan perhatian dengan pencapaian 96.31 peratus bagi menengah rendah dan 92.6 peratus bagi menengah atas.
“Dengan menetapkan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib, kita membuka ruang lebih luas untuk anak-anak meneruskan pembelajaran sehingga tamat Tingkatan Lima.
"Langkah ini bukan sahaja memperkukuh peluang mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, malah menyediakan asas kukuh untuk memasuki alam pekerjaan dengan lebih berdaya saing,” jelas Fadhlina.