fb fb fb fb fb

Dewan Negara lulus RUU Anti-Lambakan 2025, perkukuh perlindungan industri tempatan

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 September – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil oleh negara luar.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Beliau berkata, pindaan berkenaan amat penting bagi menangani isu lambakan produk konvensional yang dijual lebih murah di Malaysia berbanding harga di negara pengeluar asal.

“Kalau dibuktikan bahawa sesuatu produk mendapat subsidi tidak adil daripada kerajaan negara asal, dan dijual lebih murah di sini, ia akan memudaratkan pengeluar tempatan.

“Itu antara dua isu utama yang boleh disiasat di bawah undang-undang ini supaya tindakan dapat dilaksanakan. Sebelum ini, undang-undang sedia ada tidak mencukupi,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan RUU berkenaan di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Liew, MITI telah melancarkan sistem Pengurusan Siasatan Remedi Perdagangan (TRIMA) bagi memudah cara proses pengemukaan petisyen oleh pengeluar tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tiada sebarang kos dikenakan terhadap industri tempatan, sebaliknya mereka hanya perlu mengisi borang soal selidik serta mengemukakan bukti secara digital melalui sistem TRIMA.

“Kerajaan melaksanakan langkah ini demi kelangsungan industri tempatan. Khidmat nasihat teknikal dan bimbingan turut disediakan bagi membantu PKS termasuk industri hiliran meningkatkan pemahaman berkaitan langkah anti-lambakan dan timbal balas.

“Perkhidmatan kerajaan dalam melaksanakan tindakan berkaitan amalan perdagangan ini adalah untuk semua pengeluar tempatan dari pelbagai sektor, dan tidak terhad kepada sektor besi dan keluli,” katanya.

Tambahnya, kawalan dan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi dasar percukaian serta kerjasama pelbagai agensi, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan, bagi menangani isu lambakan melalui platform e-dagang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN