ISKANDAR PUTERI, 10 September- Johor mengumumkan insentif khas RM3,000 sekali bayar kepada pengusaha kantin di sekolah agama negeri itu.
Insentif diberikan bagi memperkemas serta menaik taraf kelengkapan kantin, seterusnya memenuhi piawaian halal.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata inisiatif juga dapat menjamin kebersihan dan keceriaan kantin sekolah.
Selain itu, dapat memberi pendedahan awal kepada murid mengenai kepentingan makanan halal di peringkat sekolah.
"Di sekolah Gred A dan Gred B, sijil halal akan diberikan terlebih dahulu pada tahun ini, sebelum akhir tahun. Bagi Gred C, sijil halal akan diberikan pada tahun hadapan.
Untuk menghargai semua kerjasama pihak kantin, guru besar, dan para pegawai di sekolah-sekolah Gred A dan Gred B serta sekolah agama, Kerajaan Johor melalui PIJ akan memberikan insentif sebanyak RM3,000," kata Mohd Fared kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Halal Johor, di sini.
Johor mempunyai 583 kantin sekolah agama, dengan 138 daripadanya bakal menerima persijilan halal menjelang Disember depan.