fb fb fb fb fb

Krisis politik Thailand-Indonesia tidak jejas keyakinan pelabur di ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 10 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rantau ASEAN kekal stabil serta terus diyakini pelabur meskipun berlaku pergolakan politik di Indonesia dan Thailand.

Beliau berkata, sehingga kini tiada reaksi negatif diterima daripada pelabur, malah keyakinan itu diharap dapat diteruskan memandangkan ASEAN merupakan rantau paling aman.

“Setakat yang kita tahu, keadaan di Thailand agak stabil dengan Perdana Menteri baharu mereka dan kita mendoakan yang baik kerana kestabilan adalah perkara paling penting. Dalam masa sama, semalam saya turut menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan keadaan di sana hampir kembali normal. Saya fikir ia cukup stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 (The 9th International Conference on Social Sciences and Humanities – ICOSH 2025) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang diarah menjalani hukuman penjara serta-merta selama setahun, khususnya berkaitan peranannya sebagai penasihat tidak rasmi ASEAN, Datuk Seri Anwar berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul, berhubung perkara itu.

“Tiada keperluan untuk membuat sebarang keputusan segera sehingga beliau (Anutin) datang dalam tempoh singkat bagi membincangkan kerjasama dengan Thailand dan ASEAN. Peranan Thaksin tentunya terbatas kerana beliau tidak bebas untuk memberikan pandangan dan kerjasama,” katanya.

Semalam, Mahkamah Agung Thailand mengarahkan Thaksin dipenjara serta-merta bagi menjalani baki hukuman penjara selama setahun.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati hukuman penjara yang dijatuhkan pada tahun 2023 tidak dilaksanakan dengan sewajarnya.

Thaksin sebelum ini ditempatkan di hospital dan mengelakkan hukuman penjara sebenar, menyebabkan mahkamah memutuskan beliau kini perlu menjalani baki hukuman yang tertangguh.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN