fb fb fb fb fb

DEEP diperluas kepada semua ketua perkhidmatan, ketua jabatan mulai tahun depan

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri/BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 September- Kerajaan akan memperluas penggunaan Demerit Performance Evaluation (DEEP) kepada semua ketua perkhidmatan dan ketua jabatan mulai tahun hadapan 

Langkah itu bagi memastikan tadbir urus lebih berkesan serta peningkatan prestasi menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri berkata keputusan itu dibuat selepas impak awal pelaksanaan DEEP sejak Januari lalu menunjukkan hasil positif dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran.

"DEEP ini bertujuan untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat. Ia bukan semata-mata berdasarkan demerit. Jika seseorang melakukan kesilapan, markah akan ditolak daripada 100.

Sebaliknya, jika melakukan sesuatu yang baik dan menerima pujian daripada peringkat antarabangsa, komuniti, atau rakyat yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, markah akan ditambah. Dengan cara ini, ia akan kembali ke keadaan neutral," kata Tan Sri Shamsul dalam sidang media Simposium Penilaian Strategik, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) di Marriott Hotel, disini, hari ini.

Tambahnya, impak awal menunjukkan peningkatan ketara dalam pengurusan kewangan yang lebih realistik, pengurangan isu projek melalui pemantauan rapi, pengukuhan akauntabiliti serta integriti, dan kepimpinan lebih seimbang.

DEEP diperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah pentadbiran negara, dengan penilaian bermula pada markah 100% pada awal tahun, menandakan setiap individu dianggap cemerlang pada 1 Januari setiap tahun.

Selain itu, kerajaan turut menubuhkan Skuad Pemantau ARPA atau Flying Squad yang akan menggunakan kaedah "mystery shopping" bagi menilai kualiti penyampaian dan tahap pematuhan peraturan.

Pasukan itu akan diterajui bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), PACU, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Pantau MADANI.

Beliau menegaskan kejayaan ARPA sepanjang tahun pertama pelaksanaannya adalah hasil iltizam seluruh penjawat awam serta dukungan padu pelbagai pemegang taruh.

Antara inisiatif berimpak tinggi di bawah ARPA termasuk Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB), pelantikan Chief Reform Officer (CRO) di setiap kementerian, pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta penggubalan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan (ILTIZAM).

“Kerangka ARPA bukanlah dokumen statik, sebaliknya sebuah ekosistem dinamik dan fleksibel. Peranan Chief Reform Officer (CRO) amat penting bagi memastikan idea-idea bernas diterjemahkan kepada hasil konkrit demi kepentingan rakyat,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan RKB pula telah memberi penjimatan kos sebanyak RM873.5 juta setakat ini, dengan jumlah itu dijangka melonjak kepada RM1.5 bilion menjelang akhir 2025.

Beliau berkata reformasi melalui ARPA seiring dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) dan akan menjadi tonggak utama dalam merealisasikan aspirasi nasional.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM