fb fb fb fb fb

RUU Pekerja Gig bawa perlindungan baharu, termasuk slip gaji & gaji minimum

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 September - Slip gaji, gaji minimum dan kontrak lisan antara perlindungan yang bakal dinikmati penggiat seni dan pekerja gig menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang baru diluluskan di Parlimen.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, Fasal 13 RUU tersebut menetapkan pekerja gig berhak menuntut slip pendapatan daripada majikan, manakala majikan pula diwajibkan mengeluarkannya.

“Sekiranya gagal, laporan boleh dibuat kepada Jabatan Tenaga Kerja. Penalti jelas termaktub hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM50,000 boleh dikenakan,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Khas RUU Pekerja Gig 2025 di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Mengulas lanjut, Steven menjelaskan definisi pekerja gig tidak terhad kepada e-hailing semata-mata, sebaliknya meliputi perkhidmatan lebih luas. Perlindungan turut merangkumi perjanjian secara bertulis atau lisan, nyata mahupun tersirat.

RUU tersebut turut memberi jaminan kadar bayaran mengikut jumlah jam setara gaji minimum, bagi melindungi kebajikan pekerja.

RUU Pekerja Gig 2025, yang mengandungi 112 fasal, diluluskan minggu lalu selepas tujuh tahun proses penggubalan. Sebanyak 23 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Antara intipati utama RUU ialah penetapan definisi pekerja gig, penubuhan majlis tiga hala bagi menentukan pendapatan dan syarat kerja, mekanisme penyelesaian pertikaian serta perlindungan keselamatan sosial.

RUU tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara.

0809 NSL SIM RUU GIGMenteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong (tiga, kiri) bersama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (dua, kiri) bergambar ketika menghadiri Taklimat Khas Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Finas Hulu Kelang, hari ini / BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE