fb fb fb fb fb

RUU Larangan Tukar Parti: Jabatan Peguam Negara dapatkan perkenan Agong

(FOTO PARLIMEN MALAYSIA)

KUALA LUMPUR, 10 Ogos - Jabatan Peguam Negara akan menjalankan proses untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 Pindaan mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang telah diluluskan di Parlimen.

Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Perintah kuat kuasa tarikh peruntukan tersebut akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh kuat kuasa mengikut Fasal 1 Rang Undang-undang berkenaan.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan
Junaidi Tuanku Jaafar)

"Setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing," kata beliau.

Perkara tersebut penting untuk penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan berharap agar semua negeri menerima pakai cadangan peruntukan tersebut supaya kestabilan politik dapat dikekalkan dan penyeragaman sistem boleh dicapai.

Media Baharu