fb fb fb fb fb

Kerajaan gesa SPRM segerakan siasatan isu LCS

KUALA LUMPUR, 10 Ogos- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyegerakan siasatan berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Perkara itu dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Kabinet turut meminta Peguam Negara agar membuat pendakwaan sekiranya terdapat bukti kukuh dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan memberi jaminan, siasatan dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit.

Menurut beliau, kabinet juga memutuskan bahawa Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiar kepada umum.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

Selain itu, Jemaah Menteri mencadangkan agar Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019, dinyahklasifikasikan.

"Namun, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

"Keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan menggangu Proses Mobilisasidi bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022", katanya menerusi kenyataan itu.

"Kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)".

Khamis lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada sebuah pun kapal LCS telah disiapkan.

Kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion, memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

Media Baharu