KUALA LUMPUR, 20 Disember - Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 diluluskan Dewan Rakyat hari ini selepas selesai pembentangan.
Ia diluluskan secara sebulat suara dan tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari depan melibatkan wang tidak melebihi satu ratus tujuh bilion tujuh ratus lapan belas juta enam ratus tujuh puluh enam ribu enam ratus lima puluh ringgit (RM107,718,676,650).
Perbelanjaan itu bagi perbelanjaan perkhidmatan dan perbelanjaan lain.
"Anggaran perbelanjaan di bawah RUU ini antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. Begitu juga projek-projek pembangunan yang sedang berjalan perlu diteruskan terutamanya projek pembaikan dan penyelenggaraan seperti sekolah daif, jalan raya, hospital serta klinik kesihatan," kata Anwar di sini.
Tambah beliau lagi, Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) tidak akan diluluskan Parlimen sebelum 1 Januari 2023, maka peruntukan perlu dikeluarkan untuk perbelanjaan pada 2023 bagi tempoh dari 1 Januari sehingga tarikh Rang Undang-Undang Perbekalan bagi 2023 menjadi undang-undang dan mula berkuat kuasa.
Justeru, menerusi Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1996, Anwar turut mencadangkan dana bernilai RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023 untuk perbelanjaan segera.
(Anwar Ibrahim ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) sempena Mesyuarat
Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini)
"Jumlah wang berkenaan dalam ruang tiga dan empat penyata itu bertentangan dengan maksud yang dinyatakan dalam ruang satu penyata ini adalah diuntukkan bagi perbelanjaan sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan," katanya.