KUALA LUMPUR, 20 Mac - Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan sebarang dakwaan tindakan melobi wakil industri tembakau dan vape berhubung Pengguguran Peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pengguguran itu dibuat susulan teguran dan pendirian Pejabat Peguam Negara berhubung isu Perlembagaan.
"Kita mahu GEG itu, namun ketika dibangkitkan dalam kamar AG, persoalan isu Perlembagaan telah menjadi besar, itu sebab kerajaan mengambil sikap tidak bawa GEG bersekali dalam akta tersebut. Dengan hanya itu, tidak ada kena mengena dengan pelobi, tidak ada kena mengena dengan apa-apa," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahukan penjelasan mengenai pengguguran peruntukkan berkenaan.
Katanya, KKM akan melaksana peraturan baharu terhadap industri vape dan bahan-bahan terlarang seperti nikotin pada Jun ini.
Berdasarkan RUU sebelum ini, yang lebih dikenali sebagai RUU GEG dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
Di bawah RUU baharu yang dibentangkan bekas menteri kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 28 November tahun lalu, RUU GEG di bawah Perkara 17 (1) larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.
Pada 18 November tahun lalu, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, dipetik berkata peruntukan di bawah RUU itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.