fb fb fb fb fb

Nak tender kerajaan, syarikat kontrator perlu miliki perakuan pendaftaran yang sah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Mac - Syarikat kontraktor yang menjalankan atau menyiapkan mana-mana kerja pembinaan perlu memiliki perakuan pendaftaran yang sah, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, perakuan itu hanya dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia kepada syarikat yang berdaftar.

“Bagi mana-mana syarikat kontraktor yang telah berdaftar dengan CIDB dan berhasrat untuk menyertai tender kerajaan, perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh agensi yang mengeluarkan tender.

“Manakala, syarat pra-kelayakan pula adalah tertakluk kepada pekeliling perbendaharaan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia PK 2.3: tender terbuka pra kelayakan.”

Jelasnya, agensi boleh mengguna pakai kaedah tender terbuka pra-kelayakan dalam melaksanakan perolehan termasuk juga perolehan yang tertakluk kepada Perjanjian FTA.

“Perolehan bekalan, perkhidmatan bukan perunding dan kerja yang melibatkan perbelanjaan melebihi RM500 ribu setahun atau satu kontrak boleh dipelawa secara tender terbuka pra kelayakan berdasarkan Perancangan Perolehan Tahunan yang disediakan oleh agensi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukan wakil Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan adakah kerajaan tidak bercadang untuk menyemak dan menawarkan pendaftaran baru Kontraktor CIDB Gred G7 untuk disenaraikan sebagai kontraktor memenuhi syarat pra- kelayakan bagi menggantikan kontraktor yang telah berstatus pra-kelayakan yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

GRACE AISYAH KEDAYAN