fb fb fb fb fb

Sultan Pahang titah penceramah di masjid perlu bertauliah

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Subuh di Masjid Sultan Abu Bakar, Temerloh/Foto FB Kesultanan Pahang

MARAN, 21 Mac - Masjid dan surau di Pahang perlu memastikan semua penceramah dijemput untuk program pengajian dan pengimarahan di masjid mempunyai tauliah mengajar agama daripada pihak berkuasa agama negeri.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sebanyak 696  masjid dan surau di Pahang  perlu kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh negatif termasuk  ajaran bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah ( ASWJ).

Titah baginda, arahan itu bukan bertujuan menyusahkan mereka tetapi sebagai cara memastikan institusi masjid tidak dijadikan sebagai tempat menyebarkan ajaran menyeleweng atau politik kepartian pecah belah.

"Perlaksanaan keperluaan tauliah mengajar ini dilakukan bukan untuk menghalang  atau menyusahkan pengurusan dakwah sebaliknya adalah sebagai satu langkah pencegahan bagi mengelakkan penyebaran ajaran yang salah dan utama adalah bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

"Institusi masjid dan surau seharusnya menjadi medan yang memberikan pencerahan kepada ummah, menyebarkan semangat muhibah dan perpaduan bukannya menjadi punca kepada kekeliruan, perbalahan dan persengketaan yang memecahbelahkan masyarakat," titah baginda di majlis perasmian Masjid Annur Kg Bukit Lada dan penyampaian kepada asnaf dan berbuka puasa bersama rakyat di perkarangan Masjid Kg.Bukit Lada di sini pada Rabu.

Justeru itu titah baginda, sebarang pelanggaran terhadap ketetapan itu boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang di negeri ini.

Tegas baginda, pegawai  pentadbiran masjid perlu urus tadbir masjid dengan amanah dan bersistematik sekali gus mengelakkan salah guna kuasa yang menyusahkan kariah dan umat.

Baginda turut mengingatkan rakyat terus mengimarahkan masjid yang merupakan institusi asas dan terpenting bagi umat Islam yang menjadi lambang keagongan dan kesyumulan Islam.

"Kerjasama erat antara setiap ahli kariah dalam mengimarahkan  masjid dengan melaksana aktiviti keagamaan, kerohanian, sosial mahupun ekonomi mampu menarik lebih ramai umat Islam untuk memenuhi masjid," titah baginda.

GRACE AISYAH KEDAYAN