fb fb fb fb fb

Kerajaan mahu Pulau Pinang jadi hab halal terbesar

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan yang dianjurkan oleh KKDW melalui agensinya iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Masjid Jamek Al Amin Simpang Tiga, Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL, 21 Mac - Kerajaan berharap lebih banyak kilang dan premis perniagaan mengeluarkan produk halal berskala besar di negeri Pulau Pinang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bertujuan untuk memperluaskan lagi industri halal dalam membantu Lembaga Kemajuan Pulau Pinang (PERDA) mengeluarkan produk-produk halal.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata saiz pasaran halal dunia kian berkembang dengan ia dijangka akan mencapai 5 trillion US dolar pada 2030 berbanding 3 trilion US dolar tahun lalu.

"Saya berharap usaha yang dilakukan mampu menjadikan negeri ini salah satu daripada Halal Hub yang mengeluarkan produk-produk halal berskala besar. 

"Perkembangan infrastruktur dan pertambahan penerokaan luar negara yang baik kini mampu mengembangkan industri halal di negeri ini yang merangkumi produk farmaseutikal serta kosmetik dan tidak tertumpu hanya kepada makanan.

"Tahun ini, RM32 juta peruntukan tambahan diberikan PERDA disebabkan Pelabuhan Pulau Pinang menjadi pelabuhan penting untuk mengeksport produk-produk halal.

"Setakat ini, produk halal datangnya dari Thailand, jadi kita mahu lebih banyak produk halal datang dari Malaysia kerana permintaannya besar terutama dari negara-negara Timur Tengah," katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di pekarangan Masjid Jamek Al Amin Simpang Tiga, di sini pada Rabu.

Beliau turut berkongsi beberapa kejayaan PERDA dalam memacu pembangunan di negeri ini termasuk kejayaan membimbing seramai 23,960 usahawan dan syarikat serta memberi fokus kepada penghasilkan produk-produk yang memenuhi standard persijilan halal.

Hadir sama, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek dan Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.

GRACE AISYAH KEDAYAN