fb fb fb fb fb

RUU berkaitan kawalan produk rokok dijangka dibentang pada Mei

KUALA LUMPUR, 4 April- Rang Undang-undang (RUU) berkaitan kawalan produk rokok termasuk rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik akan dibentangkan pada Mei dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen ke-15.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagi memperhalusi secara komprehensif kesan penggunaan produk berkenaan menurut aspek perundangan.

Jelas beliau, meskipun alat rokok elektronik atau vape dinyahsenarai daripada Akta Racun 1952, kerajaan tetap bertegas dalam menggariskan syarat penjualan produk tersebut.

"Apakah kerajaan bertegas akan memperkenalkan undang-undang seperti yang disebut oleh Kementerian Kesihatan (KKM) tempoh hari? Saya jawab ya.

Keputusan kami jelas, akan memperkenalkannya, kelewatan itu, saya mohon maaf kerana ramai ahli parlimen yang meminta dikaji semula beberapa peruntukan, bukan ditolak sama sekali," katanya di Parlimen.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Datuk Seri Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan akan mempergiatkan kempen kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Sukarelawan Siswazah, Majlis Belia Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan.

Media Baharu