fb fb fb fb fb

RUU Anti Lompat Parti: Perak rancang mesyuarat khas DUN

TAIPING, 4 Ogos- Satu mesyuarat khas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan diadakan berkaitan pelaksanaan Rang Undang-Undang mengenai peruntukan larangan ahli dewan lompat parti.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata namun ia tertakluk kepada permohonan daripada pihak kerajaan negeri selain mendapat watikah perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Kalau ikut daripada perancangannya adalah apabila ianya telahpun (RUU) sudah selesai diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan kemudian drafnya juga siap.

"Selepas itu kita akan bawa ke Dewan Negeri dalam waktu terdekat sebelum dewan dibubarkan," katanya.

(Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid)

Beliau memberitahu pemberita pada program Pra Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 negeri Perak di Dataran Warisan, di sini.

Mohamad Zahir mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyatakan kerajaan negeri akan membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada sidang DUN selepas RUU itu diluluskan Dewan Rakyat.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Media Baharu