MOSCOW, 25 April - Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan gencatan senjata di sekitar kilang keluli Azovstal bagi membolehkan pemindahan orang awam dari kawasan perindustrian itu yang menjadi kubu terakhir batalion Azov Ukraine di bandar pelabuhan Mariupol.
"Tentera Rusia dari 14:00 waktu Moscow (1100 GMT) pada 25 April 2022, akan menghentikan secara unilateral semua serangan, mengundurkan unit ke jarak selamat dan memastikan pemindahan orang awam", kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, orang awam akan dibawa ke mana-mana arah yang mereka pilih.
(Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan gencatan senjata
di sekitar kilang keluli Azovstal/AFP)
Pihak Ukraine harus menunjukkan kesediaan untuk memulakan pemindahan orang awam dengan menaikkan bendera putih di Azovstal.
Menurut kementerian itu, maklumat ini akan disampaikan kepada mereka yang berada di Azovstal "melalui saluran radio" setiap 30 minit.
Rusia minggu lalu berkata ia telah menguasai sepenuhnya bandar strategik timur Ukraine itu, kecuali kawasan perindustrian Azovstal yang besar. -AFP