fb fb fb fb fb

Runtuhan gudang: CIDB dan DOSH luang masa siasat punca runtuh

FOTO RTM

BATU MAUNG, 30 November- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah menjalankan siasatan awal berhubung struktur konkrit sebuah gudang yang runtuh pada Selasa di sini.

CIDB dalam satu kenyataan memaklumkan anggota CIDB dan DOSH telah meluangkan masa kira-kira lima jam di tempat kejadian dan mendapati mendapati 14 batang tiang rasuk telah runtuh menyebabkan lantai konkrit jatuh menghempap pekerja yang sedang berada di tingkat bawah.

"Siasatan itu dibuat berhubung aspek keselamatan pembinaan mengikut Seksyen 34B Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) antara lain menekankan kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan dijalankan.

"Menurut Akta 520, mana-mana kontraktor yang melanggar kewajipan dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan dan pelanggaran kewajipan itu menyebabkan kematian adalah dianggap melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian jam 9.58 malam itu, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut manakala dua lagi dilaporkan kritikal dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD