fb fb fb fb fb

Rumah Ru'Rasa, Agong titah penerima tidak jual atau beri sewa

FOTO BERNAMA

PEKAN, 20 Oktober- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'Rasa) yang dibina kepada 16 penerima di Kampung Pahang Tua, Pekan hari ini.

Baginda bertitah Projek Ru'Rasa ini merupakan hasil kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Baginda menyeru agar penerima rumah dapat menjaga rumah yang diperoleh sebaik mungkin dan tidak menjual atau menyewakannya.

"Beta tidak suka mendengar, kalau ada mana-mana pemilik berhasrat untuk menjual rumah ini pada masa-masa akan datang. Kalau pun tidak ada waris, saya harap pihak itu sila berhubung dengan pejabat daerah ataupun pejabat sultan.

Maklumkan tentang status kepada mereka, berkenaan perkara ini dan pemimpin-pemimpin di kampung baik penghulu atau ketua kampung harus bertanggungjawab dalam hal ini," titah baginda semasa majlis penyerahan itu, di sini.

Projek Ru'Rasa melibatkan pembinaan dua jenis rumah iaitu rumah bertiang berkeluasan 1,034 kaki persegi manakala rumah atas tanah berkeluasan 870 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, dua bilik air selain dilengkapi ruang makan.


(FOTO BERNAMA)

Dalam pada itu, rata-rata penerima menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kurniaan rumah Ru’Rasa.

Penerima, Nor Rafeah Mustafa, 41 tahun seorang ibu tunggal yang sebelum ini menumpang di rumah ibunya bersyukur kerana mendapat rumah yang selesa bersama dua orang anaknya yang berusia 10 dan 15 tahun.

"Alhamdulillah, dapat rumah yang cukup sempurna. Saya amat bersyukurlah dapat rumah ini. Saya berterima kasih kepada tuanku atas pengurniaan rumah ini," kata Nor Rafeah kepada pemberita.

"Alhamdulillah, pemberian ini amat bermakna dan meringankan beban kami. Kami pun kerja, kadang pendapatan tidak mencukupi.Susahlah kalau nak kumpul duit, nak bina rumah. Bila Agong kurnia ini, sangat-sangat bersyukur," kata Khairuzaman kepada pemberita.

Penerima, Zalina Che Ha, 43 tahun berkata dia mula mohon rumah tersebut selepas anak keduanya disahkan menghidap penyakit buah pinggang enam tahun lalu.

Ia bertujuan untuk menyediakan kediaman yang lebih selesa untuk anaknya itu.

Walau bagaimanapun katanya, anaknya itu telah meninggal dunia pada usia enam tahun pada 6 Mac 2022.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan sangat gembira atas kurniaan tuanku ini. Saya dapat rumah ini, merupakan kenangan saya bersama arwah anak saya sebab saya mohon rumah ini masa dia sakit," luah Zalina kepada pemberita.

Media Baharu